Monday, 21 November 2016


ASAS KEUSAHAWANAN GROUP K
PENSYARAH : PUAN SYAHRINA BINTI ABDULLAH
NAMA AHLI KUMPULAN :
NOR SULAIHAN BINTI SULAIMAN 241563
WAN NUR FATIN SHAHIRAH BINTI WAN SHUHAIMI 241537
HEMAH MALAR A/P KANNAN 241515
NURSYAMIRA BINTI MOHAMAD SOID 241583
NUR MASTURA BINTI TUKIMIN 241540


TASK 1


 PENGENALAN

Usahawan adalah penggerak dan pemangkin ekonomi negara. Sesebuah negara tidak akan mencapai taraf sebagai negara maju sekiranya tidak mempunyai usahawan yang berjaya serta berdaya saing yang tinggi. Ini kerana usahawanlah yang menjadi tulang belakang dan nadi penggerak ekonomi sesebuah negara secara tidak langsung dapat menaikkan lagi nama Malaysia di persada perniagaan dunia. Ini berlaku apabila usahawan membawa nama negara semasa mempromosikan barangan mereka di luar negara.. Usahawan adalah merupakan masyarakat yang terbaik. Ini adalah kerana usahawan merupakan individu paling dinamik dan lebih bersedia untuk berhadapan dengan ketidaktentuan dalam usaha mereka untuk kejayaan. pembudayaan nilai-nilai dan ciri-ciri keusahawanan yang dimiliki akan menjurus mereka untuk menjadi lebih yakin serta lebih bersedia untuk merebut peluang serta berhadapan dengan cabaran. Usahawan juga merupakan individu yang mengusahakan perniagaan dengan bermotifkan keuntungan serta turut mengamalkan amalan-amalan yang strategik untuk terus berjaya. secara tidak langsung dapat menaikkan lagi nama Malaysia di persada perniagaan dunia. Ini berlaku apabila usahawan membawa nama negara semasa mempromosikan barangan mereka di luar negara.
Oleh yang demikian, untuk menjadi usahawan yang berjaya, seseorang individu tersebut perlulah mempunyai ciri-ciri usahawan yang diperlukan dalam dirinya agar dapat perniagaan yang dijalankan dapat bergerak maju seiring dengan kemajuan dunia.


TAN SRI DATO’ LOH BOON SIEW (BERWAWASAN)






Nama Boon Siew pada motosikal Honda ini bukanlah datang dari Negara Jepun tetapi ia adalah nama individu yang bertanggungjawab untuk membawa masuk motosikal Honda terbabit ke Malaysia iaitu mendiang TAN SRI DATO’ LOH BOON SIEW. Sebagai usahawan yang berjaya, Tan Sri dilihat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk syarikat. Pada tahun 1958, beliau berkesempatan untuk melawat negara Jepun dan di situlah tercetusnya idea beliau untuk membawa masuk produk motosikal Honda di Malaysia. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motosikal yang pertama di Malaysia iaitu Boon Siew Assembly Plant milik Boon Siew Sdn. Bhd. di kawasan Perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang. Tan Sri Dato’ Boon Siew merupakan pengasas bagi syarikat Boon Siew Sdn. Bhd. Tan Sri juga dikenali sebagai ‘Mr Honda’ merupakan seorang jutawan di negeri Pulau Pinang. Dengan terbinanya kilang ini pada tahun 1969, motosikal Honda tidak lagi dipasang di Jepun tetapi ia dipasang di Malaysia seterusnya dapat menjimatkan kos pemasangan dan jualan.
Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew dikatakan seorang yang berwawasan tinggi kerana beliau merupakan usahawan Malaysia pertama yang berjaya membawa masuk produk jenama Honda ke Malaysia. Boon Siew Sdn. Bhd. juga telah memperkenalkan beberapa model terbaru motosikal Honda bermula pada tahun 1971 iaitu model Honda S907. Pada hari ini, terdapat beberapa jenis motosikal Honda yang berada di pasaran. Pada tahun 1969, kos pemasangan dan jualan dapat dijimatkan apabila ianya dipasang di Malaysia yang mana sebelum ini di pasang di Negara Jepun.
Sikap yang mendorong dan memberi semangat kepada Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew untuk terus menceburi diri dalam bidang permotoran. Justeru, beliau juga telah menjadi penggerak utama bagi industri permotoran di Malaysia agar lebih maju dan berkembang setanding dengan negara luar. Tidak semua usahawan mempunyai kemampuan untuk melihat ke hadapan seperti Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew.


ROZITA IBRAHIM (HASIL BERORIENTASI)



Rozita Ibrahim merupakan contoh usahawan wanita yang berjaya dalam menarik perhatian pengguna terhadap produk dan barangan yang di hasilkan. Beliau adalah seorang usahawan wanita yang berjaya menghasilkan produknya Sendayu Tinggi yang berasal daripada Saneh dayo (nama sejenis pokok mengikut suku kaum ulu Pahang) yang bermakna Seni Dayung Tinggi di bawah cita sehinggakan terkenal di persada dunia. Beliau merupakan seorang penoreh getah sebelum menjadi usahawan produk tersebut. Ketabahan yang ada pada wanita ini telah berjaya dalam penghasilan produk kecantikan. Kekuatan dan yakin ganjaran dengan kejayaan meningkatkan dirinya menjadi usahawan yang dihormati dan di segani. Justeru, nama Rozita Ibrahim tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat masa kini (artikel Rozita Ibrahim & Sendayu Tinggi Skor dalam Karir)           
Sebelum itu, beliau menceburi bidang perniagaan secara kecil–kecilan seperti menjual rokok ketek, akhbar, majalah dan nasi lemak dengan menggunakan motosikal. Beliau tidak menghiraukan apa sekalipun pandangan orang di sekelilingnya yang sering memandang serong terhadap pekerjaan yang beliau lakukan dan sanggup menerima kutukan dan cacian daripada orang di lain. Dalam fikiran beliau, apa yang paling utama ialah diri dan anak–anaknya. Puan Rozita kuat berpegang pada prinsipnya, “Sesiapa yang malas berusaha dan membuang masa adalah orang yang bodoh lagi merugikan”. Bagi beliau, mencari rezeki yang halal adalah sesuatu yang perlu di banggakan dan tidak ada apa yang perlu dimalukan.
Pelbagai pekerjaan yang telah dilakukan dan berkat kesabaran beliau akhirnya berjaya mengumpulkan modal sebanyak RM 2000.00. Dengan berbekalkan wang yang ada, beliau sanggup meninggalkan anak-anaknya di kampung semata-mata ingin mengubah nasib keluarganya. Semasa penghijrahannya, beliau banyak menceburi bidang pekerjaan sehinggakan sanggup mempelajari bahasa Inggeris untuk melancarkan percakapannya yang merupakan persediaan awal baginya. Beliau juga sempat mempelajari ilmu perubatan herba melalui warga asing yang berasal dari Indonesia. Ini dapat membantu Puan Rozita meluaskan lagi pengetahuannya dalam menghasilkan produk-produk yang berkesan dan berkualiti.
Setiap usahawan mahukan yang terbaik dalam penghasilan barangan mereka dan dapat memberikan kepuasan kepada pengguna. Sama seperti wanita ini,hasrat mengubah hidup keluarga tidak pernah putus. Sehinggakan beliau dapat menghasilkan perniagaan sendiri dengan bermodalkan simpanan yang ada. Maka lahirlah nama Sendayu Tinggi yang diimpikan selama ini. Setelah 5 tahun, bersusah payah dalam mengharungi bidang perniagaan, sebagai seorang usahawan produk kecantikan atas nama yang makin dikenali, Sendayu Tinggi. Apa yang membanggakan, Sendayu Tinggi kini mempunyai 9 anak syarikat dibawahnya iaitu SENDAYU TINGGI HOLDING SDN BHD, SENDAYU TINGGI CORPORATION (M) SDN BHD, SENDAYU TINGGI BODY & SKINCARE (M) SDN BHD, SENDAYU TINGGI MANUFACTURING (M) SDN BHD, ST COSMETICS & FRAGRANCES (M) SDN BHD, SENDAYU TINGGI LOGISTICS (M) SDN BHD, ST ADVERTISING AGENCY SDN BHD, ETHNIQUE FOOD INDUSTRIES SDN BHD, C MAX EXHIBITION & PROMOTION, SENDAYU TINGGI PROPERTIES & MANAGEMENT SDN BHD.
Akhirnya, beliau dapat menghasilkan barangan dan produk yang berorientasi pengalamannya dan menjadikan Lim Goh Tong dan Boon Siew Honda sebagai tokoh usahawan yang menjadi teladan dalam kehidupannya untuk meneruskan perniagaan secara efektif. Oleh itu, pengalaman juga merupakan sesuatu yang penting kerana melalui pengalamanlah kita akan dapat mempelajari ilmu baru yang masih belum diterokai.


NEETA GOSALIA (BIJAK BERINTERAKSI)







Neeta Gosila merupakan salah seorang tokoh keusahawanan yang dikenali di Malaysia. Kebolehan beliau ini diakui sendiri oleh bapanya melalui interaksinya meyakinkan pelanggan untuk membeli barangan kemas di kedai barang milik bapanya. Ayah Neeta mengakui lagi bahawa beliau tidak pernah menyesal mempunyai kesemua anak perempuannya kerana dia mendidik anak-anak secekal anak lelaki. Keluarga Gosalia amat dikagumi dengan kejayaan anak-anak perempuannya terutama Neeta, yang telah memulakan produk rambut herba dan pusat penjagaan kulit sendiri.
Dengan 23 cawangan di seluruh Malaysia dan 10 cawangan di luar Negara, Neeta tidak pernah bersikap tamak dengan kejayaannya tetapi dia turut membantu adik beradik perempuannya yang lain sehingga masing-masing mempunyai taraf kedudukan kewangan yang kukuh. Ternyata, di sebalik perwatakan wanita India yang cantik memakai sari dan sederhana ini, tersimpan kebijaksanaan yang menjadikan beliau usahawan yang sangat dikagumi masyarakat.
Selepas berkahwin, hasil dorongan suami, beliau berangkat ke India untuk mendapat bantuan Pakar herba tradisional di sana. Dia mula menumbuk dan menggunakan herba yang diberikan oleh pakar tersebut. Selepas sebulan, rambutnya mula tumbuh dengan sihat dan ini menimbulkan minat yang mendalam pada dirinya untuk terus mengkaji herba tersebut. Wanita ini sungguh bernasib baik. Kehadirannya dalam Rancangan Nona yang disiarkan stesen penyiaran ternama, TV3 telah melonjakkan nama Neeta’s Herbal. Dari situ, Neeta dan suami menyedari betapa pentingnya pelan pemasaran yang baik bagi memastikan produk mereka dikenali.
Semenjak itu, Neeta’s Herba tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Menjelang tahun 1991, Neeta dan suaminya memutuskan untuk mengembangkan perniagaan dengan membekalkan produk mereka ke kedai-kedai terpilih di negara ini. Neeta seterusnya berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat dan United Kingdom dan membuka beberapa outlet di sana. Pada tahun 2007, sebuah outlet berjaya pula di buka di Hyderabad, India. Di sebalik kejayaan ini, pastinya dorongan keluarga yang tidak terhingga menjadi tonggak utama bagi Neeta. Neeta kini bahagia bersama suami dan tiga anaknya dan jika ditanya mengenai rahsia kejayaannya, dia menjawab, ‘Kejayaan di dalam perniagaan bukan hanya dikira berapa jumlah wang yang kamu perolehi atau sebesar mana perniagaan yang kami miliki, tetapi bagi saya ia adalah mengenai keluarga yang sentiasa menyokong dan mempercayai kebolehan saya’.


Dato’ Ameer Ali Mydin (Leadership)






Kepimpinan adalah dilaksanakan oleh seseorang pemimpin yang mempunyai keahlian memimpin serta mempunyai kuasa dan kemampuan untuk mempengaruhi orang lain untuk mencapai sesuatu yang dirancang. Pemimpin merupakan seseorang yang aktif dalam membuat perancangan, mengkoordinasi dan melakukan percubaan dengan memimpin pekerjanya untuk mencapai objektif bersama-sama. Dato’ Ameer Ali Mydin merupakan seorang Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad serta anak kepada pengasas pasaraya Mydin. Daripada sebuah kedai kecil hanya di Kota Bharu, Kelantan, kini Mydin telah berkembang ke seluruh Malaysia.Ciri-ciri kepimpinan yang diamalkan oleh beliau sejak kecil adalah berdisiplin, berjimat cermat serta pentingkan kejujuran. Beliau merupakan seorang pemimpin yang dihormati oleh pekerjanya. Mydin Mohamed Holdings merupakan syarikat pemborong tempatan yang terkenal dengan variasi konsep perniagaan yang dimiliki antaranya hypermarket, mini market, emporium, bazar, Mydin Mart, MyMart dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) serta mempunyai cawangan hampir di seluruh negara. Kepelbagaian konsep perniagaan ini secara tidak langsung membantu pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) negara serta menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran dan peluang pekerjaan. ICoE MYDIN bergerak jauh ke hadapan membantu pembekal, usahawan, peruncit dan pengusaha IKS untuk bersaing secara kompetitif dalam industri berpandukan konsep 5P, iaitu Produk, Penyelarasan Harga, Perkhidmatan, Promosi dan Pasaran. Malah, ICoE MYDIN juga berperanan sebagai pemberi khidmat nasihat, menyediakan peluang pasaran dan memberi bimbingan teknikal kepada syarikat vendor.


Dato’ Kamaruddin bin Meranun (Team Oriented)       






Kerja berpasukan dalam konsep keusahawanan bermaksud seseorang usahawan yang mengambil kira pendapat orang lain dalam sesebuah organisasi. Mempunyai sesuatu visi dan bekerjasama dalam melaksanakan visi tersebut. Sikap kerja berpasukan wujud apabila seseorang usahawan itu tidak hanya mengambil kira keputusan sendiri malah mengambil cadangan daripada kumpulannya juga. . Dato’ Kamarudin bin Meranun ialah salah satu tokoh usahawan yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia.  AirAsia dahulunya merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh DRB-Hicom dan telah mengalami kesulitan disebabkan tanggungan hutang yang terlalu tinggi. Namun selepas 9 tahun, syarikat dijalankan ia telah mempunyai aset bernilai hamper RM 4 juta. AirAsia telah menggelar pekerjanya Allstar kerana bagi AirAsia faktor utama yang menyumbangkan kepada kemajuan dan keupayaan adalah pekerja-pekerjanya. Beliau juga mengaplikasikan sikap ini bersama Dato’ Tony Fernandez yang merupakan pengasas Tune Air Sdn. Bhd.. Mereka melengkapi satu sama lain untuk membentuk AirAsia dan hasilnya, Air Asia menjadi sebuah syarikat penerbangan yang terkenal di peringkat global.  Tambahan lagi, prinsip-prinsip penjenamaan penerbangan tambang murah telah sama-sama difahami oleh beliau dan kakitangan Air Asia dan ini telah menyumbang kepada punca kejayaan Air Asia


Dato’ Wan Mohammad Sani Salleh (Kreatif & Inovatif)



Seseorang yang dapat menghasilkan idea dan konsep baru dan dapat menterjemahkannya kepada produk yang dapat dikomersialkan boleh dikaitkan dengan ciri-ciri usahawan yang berjaya. Usahawan yang kreatif adalah usahawan yang mempunyai banyak idea dan berupaya hasilkan produk baru dan canggih serta unik. Usahawan yang inovatif adalah usahawan yang sentiasa mengembangkan dan membuat pembaharuan dalam kerjayanya. Datuk Wan Mohammad Sani Salleh atau lebih dikenali sebagai Datuk Sani adalah nama yang tidak asing lagi dalam persada industri pengangkutan di negara ini. Beliau adalah pemilik kepada rangkaian operasi bas Sani Ekspres yang semakin dikenali pada hari ini di bawah kendalian syarikat Sani United Sdn. Bhd. (SUSB). Sebelum beliau menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, beliau merupakan seorang yang bergiat aktif dalam industri hiburan. pada ketika itu, berbagai pekerjaan yang telah dilakukan beliau antaranya beliau pernah menjadi model, pelakon dan penyanyi. Baginya, menceburkan diri dalam bidang hiburan juga boleh berjaya namun pada pendapat peribadinya sendiri, bidang hiburan adalah bidang yang amat sukar untuk mencapai kecemerlangan. Setelah beberapa tahun menceburkan diri dalam bidang hiburan, barulah beliau sedar bahawa bidang hiburan bukanlah jalan yang terbaik untuknya berjaya dalam hidup.  Pada suatu hari, beliau telah bertekad dan meletakkan matlamat untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Beliau telah memulakan langkah pertama beliau dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di Kuala Lumpur dan Terengganu dan secara perlahan-lahan beliau telah berjinak-jinak untuk menceburkan diri dalam industri pengangkutan iaitu bas yang selama ini menjadi impiannya. Dengan bermula membuka bengkel kenderaan dan mempunyai idea untuk membuka syarikat pengangkutan bas telah menjadikan Datuk Sani seorang usahawan yang berjaya di Malaysia.

 Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary (Proaktif)






Menurut Kamus Oxford Dictionary ciri proaktif ditakrifkan sebagai mengubah atau mengawal keadaan dengan mengambil langkah inisiatif dan dapat menjangkakan keadaan yang akan berlaku serta bertindak terlebih dahulu untuk mengatasi keadaan tersebut. Seterusnya, menurut Seibert Kraimer dan Crant (2001) pula menyatakan bahawa proaktif sangat berkait rapat degan sikap atau gelagat berinisiatif berinovasi serta motivasi pembelajaran yang berhubung kait yang positif dengan peningkatan prestasi kerjaya dan kepuasan kerjaya. Selain itu, personaliti proaktif juga dikaitkan dengan secara objektif dan subjektif dengan kemajuan kerjaya yang meliputi dimensi mempengaruhi seperti demografi, modal insan, motivasi, jenis organisasi dan jenis aktiviti.
Sikap proaktif telah dikatakan sebagai salah satu ciri yang amat penting dalam tujuh kebiasaan yang sangat efektif di dalam buku yang berjudul “The Seven  Habits of Highly Effective People. Sikap proaktif adalah ciri yang amat penting yang perlu ada pada seseorang usahawan untuk berjaya. Antara ciri proaktif yang perlu ada pada seseorang usahawan ialah seseorang yang membuat sesuatu perkara sebelum disuruh. Seterusnya, seseorang yang proaktif tidak mudah tersinggung dan berputus asa sekiranya Sesuatu perkara dilakukan menerima kegagalan dan terus mencuba. Seseorang yang bertanggungjawab terhadap tindakannya dan berfikir sebelum bertindak juga salah satu ciri proaktif yang perlu ada pada seseorang usahawan. Sikap proaktif juga akan mendorong seseorang mampu mengambil keputusan yang tepat walaupun dalam situasi yang amat sulit.
Seterusnya, contoh tokoh usahawan berjaya yang mempunyai sikap proaktif yang boleh diambil ialah tokoh usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Beliau juga dikenali sebagai usahawan yang mencintai kebajikan. Tan Sri Syed adalah putera ketiga dari tujuh orang adik beradiknya. Beliau hidup dalam serba kekurangan sehingga rumah yang didiami oleh beliau tidak mempunyai perabot langsung. Disebabkan kehidupan yang amat susah beliau terpaksa membantu ibunya menanam dan menjual sayur-sayuran di pasar. Bagi menampung pendapatan seisi keluarganya beliau sanggup menjual roti canai di pasar serta membantu ayahnya menggembala haiwan peliharaan ayahnya selepas waktu sekolah. Pada tahun 1970-an Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mula melibatkan diri dalam penjualan daging ais secara kecil-kecilan disebabkan perniagaan ayahnya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki. Selain terlibat dalam penjualan daging ais beliau juga bersikap proaktif sentiasa mencari peluang-peluang perniagaan. Ini telah terbukti pada tahun 1972, beliau telah mula terlibat dalam bidang pengangkutan dengan Berjaya mendapat permit bagi empat buah lori kelas A di bawah Syarikat Kenderaan Sentosa.
Tambahan pula, seseorang yang proaktif adalah sentiasa fokus pada perkara-perkara yang mereka dapat dilakukan dan tidak merisaukan terhadap risiko yang berkemungkinan bakal dihadapi. Sebagai contoh, Steve Jobs adalah salah satu usahawan Berjaya serta peneraju industri komputer yang mempunyai ciri-ciri kreativiti dan inovasi. Steve Jobs yang dilahirkan di Los Altos, Amerika Syarikat merupakan pengasas kepada Syarikat Apple Corporation serta merupakan antara orang terkaya sebelum mencapai umur 30 tahun. Personaliti proaktif beliau telah mendorongnya untuk melibatkan diri dalam bidang perkakasan komputer yang lebih member keuntungan yang tinggi berbanding dengan perisian komputer setelah menerajui NEXT Corperation yang menawarkan program pendidikan sistem pengkomputeran. Beliau telah berjaya menghasilkan model-model komputer berjenama Apple yang mempunyai ciri-ciri unik, kreatif dan inovatif seiring dengan peningkatan sistem teknologi pengkomputeran pada abad ke-21 kini.
Secara kesimpulannya, sikap proaktif banyak mengubah keadaan kerjaya seperti kesungguhan, ketaatan, lebih fleksibel, kreatif dan berinisiatif seiring dengan keinginan untuk berubah yang terbukti mempunyai pengaruh yang besar dalam membangunkan kerjaya.


Dato’ Jimmy Choo (Pengambil Risiko)  










Risiko itu ada setiap kali orang tidak menguasai dengan sempurna, atau mengetahui lebih dulu mengenai masa depan” kata Sr. Diacon dan RL. Carter. Misalnya risiko dalam menjalankan kenderaan bermotor, tidak ada seorang pengemudi yang dapat menjamin bahawa ia akan selalu selamat dalam perjalanan, namun juga kecelakaan yang mengakibatkan kerugian.
Di samping itu, terdapat banyak pendapat daripada para sarjana yang memberikan pengertian dan batasnya sesuai sudut pandang dan titik berat dari mana seseorang itu melihat dan mengamatinya. Risiko adalah “ sebagai suatu konsep dengan beberapa erti, yang pemakaiannya tergantung kepada hubungan-hubungan apa dan disiplin ilmu dari mana orang memandang. Sebagaimana digunakan oleh Robert I. Mahr dan Emerson Cammack dalam bukunya Principle of insurance). Selanjutnya juga dinyatakan bahawa pengertian risiko apabila dipergunakan secara longgar, akan bererti “ mengalami kemalangan atau kebahagiaan”.
Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang mempunyai ciri-ciri seperti berani mengambil risiko terbuka. Profesor Datuk Dr. Jimmy Choo Yeang Keat telah berusaha mengambil pelbagai risiko terbuka dalam memajukan industri pembuatan kasut. Ayahnya juga seorang usahawan yang menjalankan perniagaan membuat kasut. Sebelum menjalankan perniagaan membuat kasut, ayahnya adalah seorang tukang kasut. Dengan ini, Datuk Jimmy Choo telah belajar membuat kasut daripada ayahnya semasa ayahnya bekerja sebagai tukang kasut. Datuk Jimmy Choo pada awalnya mengambil pengajian dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen di sebuah Negara maju yang bernama Kota London. Kota London adalah sebuah kota yang maju yang melahirkan para pereka fesyen yang mahir dan berkaliber dan tidak terkecuali Dato Jimmy Choo.
Setelah beliau tamat pengajian dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen, beliau telah berusaha sedaya upaya cuba membuka kedai kasutnya. Beliau membuka kedai menjual kasut dengan menyewa sebuah bangunan bekas hospital yang telah lama ditinggalkan dan tidak digunakan. Beliau telah mengambil risiko terbuka dengan menyewa bangunan tersebut untuk menjual kasut dan setelah 4 tahun mengharungi cabaran menjual kasut, rekaan beliau telah mendapat liputan dan sambutan daripada orang ramai. Hal ini secara tidak langsung membuktikan bahawa tempoh 4 tahun yang diambil oleh beliau ini mampu mencipta nama beliau di dalam majalah Vogue iaitu sebuah majalah fesyen yang terkenal di United Kingdom. Oleh itu, nama beliau mulai dikenali ramai dan rekaan kasut beliau hasilkan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Perkembangan perniagaan kasut Datuk Jimmy Choo semakin hari semakin berkembang maju setelah mendiang Puteri Diana menyukai hasil rekaan beliau. Rekaan yang dikeluarkan oleh beliau telah menarik minat mendiang Puteri Diana dan secara tidak langsung rekaan yang dikeluarkan oleh beliau mendapat sambutan yang menggalakkan daripada mendiang dan orang ramai. Walaupun pada awalnya harga jualan kasut beliau masih tidak seimbang namun setelah mendiang menyukai rekaan tersebut, jualan kasut beliau telah meningkat secara mendadak. Justeru itu, beliau sanggup mengambil peluang terbuka pada ketika itu dengan berjaya mereka kasut dengan begitu menarik dan ini dapat menarik minat orang ramai serta mendiang untuk membeli kasut keluaran beliau.
Kesimpulannya, seseorang individu yang berjaya adalah seseorang yang mencuba sesuatu yang baru serta berani mengambil risiko. Kesan daripada risiko yang diambil, pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui oleh Dato Jimmy Choo, namun berkat kesungguhan beliau dalam mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar cita-citanya menyebabkan jenama Jimmy Choo terus gah sehingga sekarang. Terlalu banyak cabaran yang dilalui walaupun amat susah, namun Jimmy Choo merupakan pengambil risiko berani yang mempunyai semangat yang sangat kuat untuk mengharunginya. Oleh itu, setiap risiko yang diambil merupakan sebuah langkah permulaan kepada kejayaan.


Tan Sri Dato Sri Tony Fernandes (Rangkaian)










Rangkaian (networked) merupakan alat perniagaan yang memainkan peranan yang penting dalam kejayaan usahawan. Usahawan yang mempunyai rangkaian yang cekap dan efektif untuk pengguna luaran dan dalaman ianya akan menjadi satu kelebihan terhadap peluang perniagaan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi perniagaan mereka. Selain itu, hubungan rangkaian yang baik dapat mendapatkan sokongan dan kerjasama dari lingkaran rangkaian. Oleh sebab itu, setiap usahawan perlu membina serta membentuk kemahiran rangkaian, kerana ia akan menjadi satu pemangkin kepada pencapaian sasaran dan objektif perniagaan. Antara pihak yang terlibat dengan usahawan dalam jaringan ini ialah pelanggan, pembekal, bank, akauntan, kerajaan, persatuan perniagaan, dan badan-badan profesional. Dalam konteks jaringan perniagaan usahawan, hubungan perniagaan  adalah suatu proses saling bergantungan yang mana interaksi dan pertukaran yang berterusan berlaku antara sekurang-kurangnya dua individu. Hubungan-hubungan ini akan mewujudkan rantaian jaringan hubungan antara usahawan dengan pihak luaran.
Selain itu, dalam membentuk rangkaian atau jaringan juga mempunyai pelbagai kelebihan. Antaranya ialah kemudahan untuk mencapai (accessibility), reputasi dan jangkaan atau pengharapan (expectation). Dengan terbentuknya rangkaian usahawan, ia dapat mencapai matlamat dengan lebih mudah. Rangkaian pula boleh dibahagikan kepada dua jenis rangkaian atau jaringan iaitu rangkaian rasmi (formal networking) atau rangkaian tidak rasmi (informal networking). Rangkaian rasmi merupakan hubungan yang sedia ada di antara pelbagai pihak yang mempunyai hubungan simbiotik (suatu hubungan yang terbentuk daripada kebudayaan masing-masing yang hampir sama) dengan usahawan tersebut manakala rangkaian tidak rasmi terjalin melalui semasa zaman kanak-kanak, rakan kepada salah seorang keluarga dan orang yang berkongsi minat atau hobi yang sama.
Sebagai contoh, tokoh yang mencipta visinya yang unggul sendiri “Everyone Can Fly” iaitu Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tony Fernandes. Tan Sri layak digelar  sebagai usahawan yang berjaya kerana beliau mempunyai jaringan dalam perniagaan beliau tersendiri. Bagi memastikan produk beliau lebih dikenali Tan Sri Tony Fernandes telah mempromosikan produk beliau melalui pelbagai sumber iaitu melalui media cetak dan elektronik iaitu melalui iklan televisyen, radio mahupun akhbar-akhbar. Selain itu beliau juga turut mempromosikan produk beliau melalui internet seperti mewujudkan laman web, blog, dan sebagainya.
Selain itu, faktor kejayaan beliau dalam perniagaan ini juga kerana beliau mempunyai jaringan dengan ramai orang seperti usahawan, penyanyi, pemimpin dan lain-lain sebelum memulakan perniagaan. Faktor ini menyebabkan beliau dapat bekerjasama dengan mereka bagi memulakan perniagaan melalui maklumat yang diperoleh. Contohnya, beliau meminta bantuan sahabatnya iaitu Datuk Pahamin Abd Razak untuk mendapatkan lesen bagi memulakan perniagaan ini dan mengatur temu janji untuk bertemu perdana menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. Justeru, usaha Tan Sri telah membuahkan hasil kerana kini keuntungan yang diperoleh syarikat beliau sudah melebihi 500 juta dan kini nilai AirAsia sudah melebihi 4 bilion berbanding nilai ketika syarikat itu dibeli oleh Tan Sri yang sangat murah iaitu RM1 dan hutang sebanyak RM 40 juta.
Namun untuk mencapai kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau terpaksa menjual harta-harta dan mengeluarkan semua simpanan beliau bagi melangsaikan hutang tersebut. Di samping itu, beliau juga berusaha mencari rakan kongsi bagi mengatasi masalah tersebut dan memulakan perniagaan mereka dari asas dengan hutang yang masih tertunggak. Walau bagaimanapun, selepas beberapa tahun bertungkus lumus menaikkan nama syarikat tersebut beliau dan rakan-rakannya berjaya mencapai kejayaan kerana AirAsia hari ini bukan hanya bertapak di Malaysia tetapi juga di Indonesia dan Thailand, Filipina dan  India. Syarikat AirAsia juga telah diiktiraf oleh Skytrax sebagai penerbangan tambang murah yang mempunyai kos terendah di dunia dari tahun 2003-2015. Selain itu syarikat tersebut juga telah memenangi beberapa anugerah lain yang telah menaikkan lagi kedudukan Air Asia dan menjadi pesaing utama bagi semua syarikat penerbangan di dunia.
Namun tidak hanya syarikat sahaja yang mendapat anugerah tetapi Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tony Fernandes juga turut menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, seperti "Ketua Syarikat Malaysia bagi Tahun 2003" (Malaysian CEO of the Year 2003) pada Disember, 2003 (Anugerah ini merupakan sejenis anugerah tertinggi yang sehingga kini, hanya diberikan kepada sembilan pengusaha di Malaysia oleh American Express dan Business Times. Anugerah ini diberikan kepada Tan Sri bagi mengakui prestasi pengusahaan dan kemahiran pengurusannya di kalangan pemimpin-pemimpin syarikat-syarikat Malaysia), Anugerah 25 Bintang Asia" (25 Stars of Asia) oleh Business Week pada tahun 2005 dan banyak lagi serta telah menjadi contoh kepada semua masyarakat yang mengenali figura ini.
Konklusinya, rangkaian adalah strategi pemasaran tunggal yang paling berkuasa untuk mempercepatkan dan mengekalkan kejayaan mana-mana individu atau organisasi. Rangkaian merupakan perhubungan yang dibina untuk berkekalan dan saling menguntungkan. Memang tidak dinafikan bahawa antara faktor kejayaan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tony Fernandes.

KESIMPULAN
Secara amnya, usahawan boleh ditakrifkan sebagai seorang yang mengusahakan sesuatu perniagaan sehingga berjaya dengan motif memperoleh keuntungan di samping mengamalkan amalan-amalan yang strategik untuk terus berjaya untuk menjadikan seorang usahawan terdapat beberapa ciri yang perlu ada dalam diri individu tersebut. Usahawan yang ingin berjaya perlulah memenuhi dan mendalami ciri-ciri usahawan yang telah dibincangkan. Usahawan juga boleh mencontohi tokoh-tokoh usahawan yang berjaya seperti yang telah dinyatakan. Setiap individu mempunyai peluang untuk menjadi usahawan yang berjaya jika individu tersebut mengaplikasikan ciri-ciri usahawan dalam kehidupannya kerana kebanyakan usahawan tidak dilahirkan secara semula jadi, mereka sebelum ini memerlukan latihan, bimbingan, keyakinan dan sebagainya untuk mengecap kejayaan yang diimpikan. Kejayaan tidak hadir bagi individu yang hanya bergantung kepada orang lain tanpa sebarang usaha daripada diri sendiri. Oleh itu, usahawan merupakan individu yang mempunyai personaliti yang hebat kerana bukan semua orang mampu memenuhi ciri-ciri tersebut. Hal ini kerana, terdapat individu yang terkandas di tengah kerana tidak mampu bertahan dengan cabaran sebagai seorang usahawan. Disebabkan itu, marilah kita bersama berusaha memenuhi ciri-ciri tersebut agar lebih ramai usahawan yang berjaya boleh diwujudkan.



RUJUKAN
BUKU
Rosli Mahmood, Lily Julienti Abu Bakar, Mohamed Yusop Mohd Jani, Muhammad Shukri Bakar, Nrita Drama, Norria Zakaria, Syhrina Abdullah,Rosli Mohd Saad & Azrain Mustapa (2007). Prinsip-Prinsip Asas Keusahawanan. Singapore:Thomson
INTERNET
Al-Mansor (2010, Oktober 10)”PENGARUH PERSONALITI PROAKTIF DAN MOTIVASI PEMBELAJARAN KEATAS PEMBANGUNAN KERJAYA”(Blog Post) Diambil dari
http://about-research.blogspot.my/2010/10/pengaruh-personaliti-proaktif-dan.html
Ilawati Pristiani (2013, Februari 1)”Pentingnya Sikap Proaktif dalam Perniagaan”(Blog Post). Diambil dari
http://www.ilawati-apt.com/pentingnya-sikap-proaktif-dalam-berbisnis/
Definisi Pengertian.com (2015, Mei 9)”Definisi Pengertian Risiko”(Blog Post). Diambil dari
http://www.definisi-pengertian.com/2015/05/definisi-dan-pengertian-risiko-umumnya.html
Asas Team 8 (2015, November 10)”Usahawan Berjaya”(Blog Post). Diambil dari
http://asasteam8.blogspot.my/2015/11/ciri-2-mengambil-risiko-terbuka_10.html
Asas Keusahawanan (2015, Oktober 22)”Ciri-Ciri Usahawan dalam diri Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tony Fernandes”(Blog Post). Diambil dari
            http://shiroro2015.blogspot.my/2015/10/ciri-ciri-usahawan-dalam-diri-tan-sri_22.html
Nurul Ain (2015, November 16)”Assignment Asas Keusahawanan”(Blog Post). Diambil dari
http://asaskeusahawanangroupg2015.blogspot.my/2015/11/assignment-asas-keusahawanan_16.html
Abu Bakar Hamed, Norita Deraman “Jaringan Usahawan:Satu Pengenalan” Diambil dari
Nurul Durar (2015, November 18)”Tokoh dan Ciri-Ciri Keusahawanan”(Blog Post). Diambil dari
Yussuf Saufey (2015, March 14)”TOKOH-TOKOH USAHAWAN YANG BERJAYA DI Malaysia”(Blog Post). Diambil dari
https://www.google.com.my/amp/s/yussuf0saufey.wordpress.com/2015/03/14/17/amp/






No comments:

Post a Comment